Dalam entri yang lepas, saya telah berkongsi dengan anda kaedah merawat masalah jerawat dari luar, iaitu dari segi pembersihan kulit muka, penggunaan krim pelindung matahari dan sebagainya. Untuk entri kali ini pula, saya ingin menambahkan maklumat tentang kaedah merawat masalah jerawat dari dalam pula. Pendidikan tentang cara mengatasi masalah jerawat ini saya fikirkan amat penting memandangkan nisbah penghidap masalah jerawat di Malaysia adalah 8:10 dari kes jenis jerawat yang biasa hingga k ekes jerawat kronik.

 

Sebenarnya kaedah merawat masalah jerawat dari dalam ini memang sudah diketahui oleh umum tetapi yang membezakan antara seorang penghidap penyakit jerawat dengan penghidap yang lain adalah dari segi amalan penjagaan masalah jerawat mereka. Adakalanya kita dapat lihat seseorang penghidap jerawat kronik seperti Severe Acne dapat disembuhkan tetapi penghidap masalah jerawat Acne Vulgaris tidak dapat menyembuhkan penyakit mereka dengan lebih pantas. Hal ini secara tidak langsung berkaitan dengan amalam merawat penyakit jerawat pada diri penghidap tersebut.

Bagi mengatasi masalah jerawat dari dalam, penghidap penyakit jerawat harus mengamalkan beberapa garis panduan yang boleh membantu mengurangkan radang kulit, penghasilan sebum atau minyak berlebihan di kulit muka serta meningkatkan lagi kebolehan kulit muka memperbaiki sel-sel kulit muka dengan pantas. Cara terbaik untuk merawat masalah jerawat dari dalam adalah dengan:

1. Mengawal kandungan glukosa dalam badan

Tindakan mengawal kadar kemasukan glukosa dalam badan adalah satu langkah yang penting dalam merawat masalah jerawat dari dalam. Kandungan glukosa akan menyebabkan pengeluaran insulin yang boleh mengakibatkan berlakunya pertumbuhan jerawat pada kulit kita jika berlebihan. Contoh makanan tinggi glukosa adalah emping bijirin sarapan bergula dimakan dengan susu, air gas, jus buahan dengan gula tambahan, kek, roti dan banyak lagi.

 

Kek dan manisan mempunyai kadar kandungan glukosa yang berlebihan.

  

2. Mengurangkan pengambilan iodin

Iodin adalah satu suplimen penting dalam badan yang berfungsi untuk mengekalkan kecergasan serta mengimbangkan berat badan, tetapi jika terlebih pengambilannya, iodin boleh menyebabkan liang kulit muka yang tersumbat membengkak menjadi jerawat. Untuk mengurangkan iodin dalam badan, anda boleh ambil pil garam air laut asli dan elak dari memakan udang dan makanan laut. Ramai yang tak sedar bahawa iodin terkandung dalam garam yang digunakan untuk menambah perisa cip kentang (potato chips) yang kita makan.

 

Potato chips mengandungi bahan iodin yang banyak di dalam garam perisanya.

 

3. Mengambil suplimen seperti Multivitamin, Mineral dan minyak ikan yang mengandungi Omega 3

Kebanyakan masyarakat di negara kita kurang kesedaran tentang kepentingan pengambilan suplimen-suplimen seperti Multivitamin A, D, E, C, B dan lain-lain vitamin, selain pengambilan mineral seperti magnesium, Zink, Selenium dan mineral-mineral yang lain. Multivitamin dan mineral berfungsi untuk memberikan zat-zat yang diperlukan oleh sel-sel kulit memperbaiki kerosakan yang terjadi.

Untuk pengetahuan anda, Multivitamin akan berkerjasama dengan mineral untuk memberi kesan pembaikpulihan yang optimum ke atas kulit anda. Anda juga perlu menambah pengambilan asid lemak Omega 3 kerana ia berkesan untuk mengurangkan dan mengawal radang pada kulit.

 

Pengambilan Omega 3 dapat membantu untuk merawat masalah jerawat.

 

Ikan Salmon merupakan sumber Omega 3.

Anda juga dinasihatkan untuk mengelakkan diri dari mengambil makanan dan minuman seperti ayam, daging, hasil tenusu, makanan ringan serta minuman berkarbonat kerana ianya akan menyebabkan jerawat anda lebih jelas dan mengalami inflamasi.

Saya harap anda dapat mempraktikkan saranan-saranan yang saya kongsikan dan cuba mengubah gaya hidup anda kepada yang lebih baik demi kesihatan diri anda serta keluarga anda. Jumpa lagi di minggu hadapan. Salam hormat.

 

 


BLOG COMMENTS POWERED BY DISQUS